KUANTAN: Suami kepada bekas model dan pelakon Zahnita Wilson didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dan menggunakan dadah.
Abd Zackery Ghouse Abd Gafoor, 46, mengaku tidak bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya Zahnita atau nama penuhnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, di sebuah rumah di lorong Indera Mahkota di sini kira-kira 8.20 pagi, 7 Mei lepas.
Kontraktor kepada empat anak itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya B. Deevagaran Naidu menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung empat anak termasuk seorang autistik dan ibunya berusia 71 tahun yang menghidap sakit jantung.
Majistret Tengku Eliana Tengku Kamaruzaman membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Jan tahun depan untuk sebutan kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Abd Zackery Ghouse didakwa menggunakan dadah di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, pada 5.45 petang, 2 Dis lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 38B akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan diwajibkan pengawasan tidak kurang dua tahun.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Feb 2025 untuk sebutan bagi mendapatkan semula laporan patologi kes.
Zahnita sebelum ini mengejutkan peminatnya apabila memuat naik dua foto mendedahkan wajahnya yang lebam di bahagian mata menerusi hantaran terkini di Instagram miliknya.