• 2025-08-18 01:07 PM

KUALA LUMPUR: Suspek dalam kes pembunuhan pelajar wanita sebuah kolej yang ditemui tergantung pada kipas siling di rumah keluarganya di USJ 2/1, Subang Jaya mungkin merupakan individu yang dikenali mangsa.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat menyatakan tiada kehilangan harta benda dilaporkan di lokasi kejadian itu.

“Polis telah merakam keterangan 12 individu bagi menyiasat motif kejadian melibatkan pelajar berusia 20-an itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bapa mangsa menemui anaknya dalam keadaan tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumah mereka pada 11.55 pagi 14 Ogos lalu sebelum menghubungi polis.

Bedah siasat di Hospital Serdang mengesahkan punca kematian akibat pendarahan di sekeliling tulang leher (hyoid bone).

Kecederaan pada otot dan tulang mangsa pula merupakan kesan daripada cekikan (manual strangulation).

Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – Bernama