• 2025-06-19 11:05 AM
Sze Fei-Nur Izzuddin, Soon Huat-Shevon setuju sertai RTG - Hannah

KUALA LUMPUR: Empat pemain badminton profesional negara iaitu beregu lelaki nombor satu dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menyatakan komitmen mereka untuk menyertai Program Road to Gold (RTG) bagi kitaran 2025.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam kenyataan memaklumkan melalui program RTG, semua pemain ini akan menerima sokongan menyeluruh berkaitan prestasi, dalam usaha mereka bukan sahaja melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28), malah mencipta sejarah untuk Malaysia di Amerika Syarikat.

“RTG sentiasa menyokong atlet yang memenuhi kriteria program dan kami berharap sokongan tambahan ini dapat memberi dorongan kepada mereka dalam usaha mencapai kecemerlangan pada tahun ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Minggu lepas, Hannah mengumumkan lapan pemain badminton termasuk beregu lelaki nombor dua dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan rakan sepasukan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut bersetuju untuk menyertai program berkenaan.

Turut menyertai RTG ialah atlet angkat berat Mohd Aniq Kasdan, pelumba basikal trek Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta pemain skuasy S. Sivasangari.

Hannah turut mengumumkan trio recurve wanita negara iaitu Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil serta pemain skuasy Ng Eain Yow bersetuju untuk menyertai program Fast Track RTG.

Projek RTG yang diperkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan pada April 2023 adalah inisiatif nasional bagi menyelaras usaha negara untuk merangkul pingat emas pertama pada Sukan Olimpik, dengan tumpuan diberikan kepada edisi Paris 2024 dan LA28.