OSAKA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan permohonan menyertai PKR telah diluluskan.
Beliau menyatakan permohonan itu diterima dua minggu lepas semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti.
“Saya tidak ingat tarikh (penerimaan permohonan) tapi ia adalah ketika perjumpaan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti, dua minggu lepas,“ katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.
Tengku Zafrul kini secara rasmi menjadi ahli PKR Cabang Ampang.
Beliau sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan dari UMNO pada 30 Mei lepas.
Menerusi surat kepada pimpinan UMNO, beliau memaklumkan hasrat meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi.
Beliau turun jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Kenyataan itu dibuat semasa lawatan beliau ke Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka.
Tengku Zafrul sebelum ini merupakan tokoh utama dalam UMNO sebelum membuat keputusan menyertai PKR. - Bernama