KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan kemampuan selaku pilihan kedua apabila bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk menempah tiket ke separuh akhir Terbuka Indonesia 2025 di Jakarta hari ini.

Pada aksi suku akhir kejohanan yang berlangsung di Istora Senayan, gandingan beregu negara itu mengambil masa 54 minit untuk menundukkan pasangan pilihan kelima dari Denmark Jesper Toft-Amalie Magelund, 17-21, 21-16, 21-14.

Kemenangan itu melayakkan mereka mara ke peringkat separuh akhir untuk berdepan pasangan pilihan keenam dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang menewaskan pasangan beregu negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 21-16, 21-12.

Tang Jie berkata mereka banyak menumpukan kepada tempo permainan bagi menyaingi aksi pantas pasangan Denmark itu dan kekal agresif pada sepanjang pertemuan sulung dengan Toft-Magelund.

“Gandingan saya juga memainkan peranan penting hari ini dan ia sangat membantu untuk kami meraih kemenangan,” katanya dalam rakaman audio yang dikongsi oleh Persekutuan Badminton Dunia kepada media.

Sementara itu, Shevon kecewa kerana gagal mengekalkan konsistensi dan melakukan beberapa kesilapan mudah sekali gus memberikan mata kepada pasangan Thailand yang berada di ranking keenam dunia itu.

Soon Huat turut mengakui mereka tewas kepada asakan dan sukar menandingi kepantasan serta intensiti permainan Dechapol-Supissara.