• 2025-07-19 02:12 PM

BEREGU wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 selepas menewaskan pasangan tuan rumah Nami Matsuyama-Chiharu Shida pada aksi separuh hari ini.

Pada aksi berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, beregu ranking ketiga dunia itu mendominasi permainan dengan memenangi set pertama 21-13 ke atas ranking kedua dunia berkenaan sebelum mengesahkan kemenangan 21-11 pada set kedua dalam tempoh 35 minit.

Keputusan itu membolehkan Pearly-Thinaah menamatkan badi kekalahan 13 kali sepanjang 15 pertemuan setakat ini.

Kali terakhir mereka menewaskan gandingan Jepun itu adalah pada Terbuka Perancis 2022, selebihnya menjadi milik Matsuyama-Shida yang terus mendominasi termasuk pada aksi Piala Sudirman tahun ini.

Pearly-Thinaah akan membuat pertemuan di pentas akhir menentang gandingan China sama ada Liu Sheng Shu-Tan Ning dan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.

Sementara itu, hasrat beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melangkah ke pentas akhir kejohanan Super 750 itu berkecai selepas disekat juara bertahan yang juga pasangan pilihan kedua kejohanan dari China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Beregu ranking keempat dunia itu tunduk dengan keputusan 12-21, 16-21- BERNAMA