KUALA LUMPUR: Pameran Halal dan Organik di THAIFEX-ANUGA ASIA 2025 anjuran Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa (DITP) Thailand di IMPACT Muang Thong Thani, Bangkok minggu lepas, membuktikan inisiatif negara jiran dalam memperkukuh pasaran global bagi eksport makanan halal dan organik.

THAIFEX-Anuga Asia dalam kenyataan memaklumkan pameran yang berlangsung pada 27 hingga 31 Mei itu dianjurkan berikutan permintaan global yang semakin meningkat terhadap makanan halal dan organik, sekali gus menjadi sebahagian daripada inisiatif strategik agensi terbabit untuk memperkukuh usahawan Thai dalam sektor berkenaan.

“Dengan menyokong usahawan Thai dalam sektor halal dan organik, kita bukan sahaja bertindak balas terhadap trend pengguna global, malah membuka peluang perdagangan baharu yang akan mengukuhkan kedudukan Thailand di pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Pameran Halal itu menampilkan produk makanan halal berkualiti tinggi yang diperakui badan pensijilan dalam dan luar negara manakala Pameran Organik menonjolkan produk makanan daripada bahan organik telah disahkan serta diluluskan oleh badan akreditasi yang diiktiraf.

“Pameran Halal merangkumi makanan telah diproses, snek, minuman serta bahan masakan semula jadi yang berkualiti unggul, rasa autentik dan proses pengeluaran yang mematuhi prinsip Islam secara menyeluruh.

“Pameran Organik pula menyediakan pelbagai jenis makanan dan minuman serta bahan masakan berkualiti premium,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif pameran berkenaan juga bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi sambil meningkatkan kredibiliti serta imej global produk Thailand di mata pengimport dan pembeli di seluruh dunia.

Maklumat lanjut berkaitan THAIFEX-ANUGA ASIA 2025 boleh diperoleh menerusi laman rasmi DITP di www.ditp.go.th dan www.thaifex-anuga.com.