KUALA LUMPUR: Tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan selepas disyaki terlibat kejadian samun bersenjata sebuah rumah di Semenyih dekat sini, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataan berkata tangkapan pertama melibatkan dua lelaki berusia 32 dan 35 tahun di Kem Batalion 19 PGA Cheras di sini pada 12.20 tengah malam tadi.

Beliau berkata seorang lagi lelaki berusia 24 tahun yang juga anggota PGA batalion sama telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 1 tengah hari tadi bagi membantu siasatan.

“Polis telah mendapat perintah reman terhadap dua anggota PGA hingga 7 Ogos ini manakala permohonan reman terhadap seorang lagi suspek akan dibuat esok,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat).

Menurut Hussein, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian samun sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, Semenyih pada 12.17 tengah malam, Rabu.

Difahamkan beberapa das tembakan telah dilepaskan oleh dua anggota PGA berkenaan ketika melakukan jenayah itu.