• 2025-08-23 07:31 PM

NILAI: Program pertukaran minyak hitam dan pemberian topi keledar percuma oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjadikan reruai jabatan itu antara yang paling mendapat tumpuan pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Sembilan di Dataran Nilai, di sini hari ini.

Setakat dua hari PMR berlangsung lebih 2,500 orang hadir untuk mendapatkan perkhidmatan percuma yang disediakan menerusi kerjasama Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri itu.

Penolong Pengarah Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat JPJ Negeri Sembilan, Zaitun Iffah Hamid berkata sebanyak 2,000 unit topi keledar percuma diagihkan kepada pengunjung manakala lebih 400 motosikal telah membuat pertukaran minyak hitam.

“Sempena PMR Negeri Sembilan, kita menyediakan 3,000 unit topi keledar dewasa untuk tiga hari dan 700 botol minyak hitam untuk dimanfaatkan kepada penunggang motosikal yang ingin membuat pertukaran minyak hitam secara percuma.

“Kita turut mendapat kerjasama daripada pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Chembong dan pelajar Giat MARA yang membantu dari aspek teknikal, termasuk penukaran minyak hitam dan pemeriksaan motosikal sekali gus memanfaatkan kemahiran mereka dalam bidang automotif,“ katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pengunjung, Rafie Ariffin, 33, dari Cheras, Selangor berkata dia datang ke Nilai semata-mata untuk membuat pertukaran topi keledar dan minyak hitam.

Dia yang bekerja sebagai pemandu bas itu berkata program seperti ini sangat membantu golongan berpendapatan rendah dan diharap dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Saya sokong sangat program ini sebab dapat jimat lebih RM120 berbanding beli dan buat di luar,“ katanya yang mengetahui perkara tersebut melalui media sosial TikTok.

Bagi S. Sivanathan, 43, dari Desa Cempaka Nilai berkata program seumpana ini perlu diteruskan sebagai usaha proaktif kerajaan dan agensi berkaitan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan - BERNAMA