• 2025-07-07 11:43 AM

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin menyifatkan keputusan bekas sekutunya, Elon Musk untuk menubuhkan parti politik baharu sebagai tindakan yang “mengarut”.

Musk sebelum ini mengumumkan penubuhan partinya sendiri yang dinamakan “America Party” pada Sabtu.

“Saya fikir adalah mengarut untuk memulakan parti ketiga. Kami mencapai kejayaan besar bersama Parti Republikan. Demokrat pula sudah tersasar haluan, tetapi sistem politik kita sentiasa berasaskan dua parti dan saya fikir penubuhan parti ketiga hanya menambahkan kekeliruan,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pengumuman parti politik baharu itu dibuat susulan penentangan Musk terhadap rang undang-undang Trump, yang menyaksikan pemotongan besar dalam perbelanjaan persekutuan namun pada masa sama menawarkan potongan cukai yang besar.

Sebagai respons kepada kritikan ahli perniagaan itu terhadap rang undang-undang terbabit, Trump berkata tanpa subsidi, Musk mungkin terpaksa “menutup kedainya dan pulang ke Afrika Selatan.”