KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong akan menjalani pembedahan lutut selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika beraksi pada pusingan pertama Masters Malaysia 2025 pada 21 Mei.
BAM menerusi kenyataan memaklumkan Tze Yong, 25, terpaksa menarik diri semasa menentang pemain Hong Kong Angus Ng Ka Long disebabkan kecederaan di lutut dan pemeriksaan perubatan menyeluruh serta pengimejan resonans magnetik (MRI) mengesahkan koyakan ACL yang memerlukan pembedahan.
Pemain itu kini menjalani prahabilitasi untuk menguatkan lutut dan otot sekeliling sebelum menjalani pembedahan.
BAM mendoakan Tze Yong selamat menjalani pembedahan dan proses penyembuhan berjalan lancar.
Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM Kenneth Jonassen berkata ini merupakan saat sukar buat Tze Yong, namun pemain itu mempunyai mental yang kuat dan akan menumpukan perhatian kepada proses pemulihan.
“Pasukan perubatan dan kejurulatihan kami bekerjasama rapat dengan Tze Yong untuk memastikan beliau mendapat jagaan terbaik. Kami akan memberi sokongan di setiap langkah, sama ada dalam atau luar gelanggang,” katanya.
Sementara itu, walaupun berdepan cabaran, Tze Yong kekal optimis dan komited terhadap proses pemulihan serta merakamkan penghargaan ikhlas kepada BAM, Institut Sukan Negara (ISN) dan semua pihak atas sokongan dan keprihatinan berterusan mereka.
“Perkara ini sukar untuk diterima, terutamanya selepas kerja keras sehingga membawa saya ke tahap ini. Bagaimanapun, ini satu lagi cabaran yang perlu dihadapi.
“Saya perlu terus positif, mengikut pelan prahabilitasi dan fokus sepenuhnya untuk kembali dengan lebih kuat. Saya ingin berterima kasih termasuk kepada peminat atas mesej sokongan yang sangat bermakna,” katanya.
Tze Yong mengalami pelbagai kecederaan sebelum ini termasuk koyakan otot di bahagian belakang diikuti kecederaan tulang belakang pada tahun lepas, menyebabkannya menjalani tempoh rehat serta pemulihan panjang sebelum kembali beraksi pada Kejohanan Badminton Asia 2025 di Ningbo, China pada April.