KUALA LUMPUR: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi mencipta kejayaan gemilang apabila melonjak ke tangga 126 dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2026, meningkat 12 anak tangga berbanding kedudukan ke-138 pada tahun lepas.
UKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejayaan itu menobatkan mereka sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia, selain mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik dunia.
“Prestasi ini bukan sekadar peningkatan angka tetapi cerminan kekuatan akademik, daya saing global dan reputasi antarabangsa UKM dalam landskap pendidikan tinggi.
“Ia turut disokong oleh peningkatan dalam indikator utama seperti hasil pekerjaan dan kemampanan, menampilkan UKM sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti tinggi, malah aktif dalam mendukung pembangunan mampan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, prestasi UKM dalam aspek kelestarian turut diiktiraf apabila melonjak 215 anak tangga ke kedudukan ke-53 dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2025, berbanding kedudukan 201-300 sebelum ini, peningkatan tertinggi pernah dicapai universiti itu sejak penglibatan dalam penarafan berkenaan.
“Daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dinilai, 15 SDG UKM berada dalam kelompok 100 terbaik dunia termasuk dua dalam 10 terbaik global iaitu SDG 1: Sifar Kemiskinan dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat masing-masing berada dalam kedudukan ke lapan.
“Ini memperkukuh kedudukan UKM sebagai universiti progresif yang memainkan peranan penting dalam memacu agenda kemanusiaan dan kelestarian global,” menurut kenyataan itu.
Kejayaan itu menjadi lebih bermakna kerana diraikan sempena ulang tahun ke-55 penubuhan UKM, yang ditubuhkan pada 1970 berteraskan semangat kebangsaan dan perjuangan bahasa Melayu dan kini muncul sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan, inovasi serta pendidikan transdisiplin.
UKM kini berada di landasan kukuh untuk terus memperkasa kedudukan sebagai pusat kecemerlangan serantau, melahirkan pemimpin masa depan yang beretika, berpandangan jauh dan lestari serta memperkukuh diplomasi pendidikan dan jaringan antarabangsa.
“Sebagai universiti yang lahir daripada aspirasi kebangsaan dan semangat keilmuan, UKM akan terus mara ke hadapan, mendukung semangat ‘Aspirasi Rakyat, Keunggulan Negara’,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Dr Sufian Jusoh menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil sinergi seluruh warga UKM yang komited dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan bertaraf antarabangsa serta inovasi berimpak tinggi.
“Sebuah universiti kebangsaan yang mampu bersaing di persada global tanpa mengorbankan identiti dan prinsip keilmuan kita,” katanya dalam kenyataan sama.
Beliau turut mengiktiraf peranan Pusat Strategi UKM yang diketuai Pro-Naib Canselor (Strategi & Kewatanan UKM) Prof Datuk Dr Roslee Rajikan serta kerjasama erat dengan rakan industri seperti Kaneka Malaysia yang turut menyampaikan penghargaan atas kecemerlangan akademik dan penyelidikan UKM.
Seorang pelajar antarabangsa dari Korea Selatan Sangwook Yoo, yang kini mengikuti pengajian Tahun 3 di Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat turut menyifatkan UKM sebagai platform terbaik memahami kepelbagaian budaya dan pengalaman antarabangsa yang bermakna.