SEREMBAN: Seorang wanita tempatan berusia 30 tahun ditahan polis selepas disyaki mencederakan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah kedai runcit di kawasan perumahan Sri Palma Villa, Mantin, Nilai.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Abdul Malik Hasim, berkata laporan diterima pada 3.28 petang semalam daripada ibu mangsa yang mendakwa anaknya dipukul dan diugut oleh suspek.
“Kejadian berlaku sekitar 12.30 tengah hari semalam ketika mangsa membeli minuman di kedai tersebut. Suspek dikatakan menendang dan memijak mangsa di bahagian muka serta kaki. Wanita itu juga didakwa mengeluarkan ugutan bunuh,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Kejadian itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) kedai dan disaksikan seorang pelanggan. Suspek ditahan pada 10.58 malam tadi dan siasatan awal mendapati dia pemegang kad orang kurang upaya (OKU) dengan masalah kesihatan mental.
Abdul Malik berkata suspek dipercayai mengalami halusinasi dan mengesyaki mangsa mencuri barangan di premis, walaupun tiada bukti. Mangsa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, dengan kecederaan bengkak di hidung dan lebam di kaki.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. - Bernama