• 2025-09-12 03:51 PM

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas berusia 97 tahun yang dilaporkan tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang malam tadi, ditemukan maut hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan mayat mangsa ditemukan di tingkat bawah rumahnya pada pukul 10.35 pagi.

Lelaki itu berjaya dikeluarkan pada pukul 10.45 pagi dengan bantuan bomba, polis dan penduduk kampung.

Mereka mengangkat mangsa sejauh 750 meter ke kawasan selamat untuk proses penyerahan.

Mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan operasi tamat pada pukul 11.30 pagi.

Terdahulu, JBPM Sabah menerima laporan dua mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu.

Seorang wanita berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung sebelum pasukan bomba tiba.

Pasukan bomba berdepan kesukaran untuk sampai ke tempat kejadian kerana laluan terhalang akibat banjir dan tanah runtuh.

Mereka terpaksa berjalan sejauh 3 kilometer melalui kawasan yang sukar untuk sampai ke lokasi kejadian. – Bernama