• 2025-09-16 10:27 AM

KEPALA BATAS: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan sokongan Kementerian Komunikasi menganjurkan tayangan wayang pacak bagi mendekatkan generasi muda dengan filem tempatan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penganjuran program sebegitu penting khususnya di kawasan kampung kerana bukan sahaja memberikan hiburan, malah dapat menarik minat generasi muda terhadap karya tempatan.

Beliau melihat aktiviti seperti ini memberi kegembiraan dan mendekatkan lagi anak-anak dengan filem tempatan.

Fahmi menyatakan ramai anak muda kini lebih ralit dengan peranti dan telefon tetapi menonton wayang pacak adalah aktiviti kemasyarakatan yang memberi limpahan positif dari segi sosial.

Beliau hadir menyantuni penduduk di Permatang Bertam pada program berkenaan yang menayangkan filem ‘Don Dukun’ sempena Jelajah Filem Malaysia ke-34 anjuran FINAS.

Program yang bermula pada 9.15 malam itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Kira-kira 250 penduduk memeriahkan program itu yang turut diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia dengan pelbagai aktiviti komuniti. – Bernama