• 2025-07-16 04:31 PM

KUALA LUMPUR: Seorang penggiat YouTube separuh masa dari China, Li Zhechen, 25, didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan Parlimen Malaysia.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret M.S Arunjothy sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.

Li didakwa melanggar Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 setelah memasuki kawasan Parlimen pada 5.30 petang, 9 Julai lalu.

Dia mengambil gambar dan video sebelum ditahan polis.

Kesalahan itu membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda sehingga RM1,000.

Timbalan Pendakwa Raya Adiba Iman Md Hassan memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran.

Peguam Lee Ewe Kiang memohon hukuman ringan dengan alasan Li tidak berniat menceroboh dan telah insaf.

“Anak guam sedang melancong di Malaysia dan beriadah di Taman Tasik Perdana sebelum tidak sengaja memasuki kawasan Parlimen yang berdekatan. Dia memohon maaf,“ kata peguam tersebut. – Bernama