IPOH: Cubaan menyeleweng 3,500 liter diesel menggunakan lori muatan tiga tan untuk pasaran gelap, berjaya digagalkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, hari ini.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada 9.30 pagi di sebuah stesen minyak, dilakukan selepas intipan sejak dua minggu lalu dan menyita lori yang mengandungi barang kawalan iaitu minyak diesel dengan anggaran lebih 3,500 liter.

“Selain lori, kita turut menyita mesin pam, peralatan memindah diesel dan lain-lain alatan yang digunakan dan turut menahan pemandu lori dan pengusaha stesen minyak warga tempatan berusia sekitar 20an hingga 40an untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata hasil operasi itu berjaya menyelamatkan bahan kawalan bernilai RM83,125.

“Lori muatan tiga tan ini diubah suai dan menempatkan empat tangki yang diletakkan dalam lori berkenaan, sekali pengisian boleh memuatkan antara 500 liter ke 1,000 liter.

“Siasatan juga mendapati diesel ini kemudian akan dijual kepada pasaran gelap melibatkan beberapa syarikat di sekitar Pantai Remis pada harga lebih tinggi antara RM3 hingga RM4 seliter,” katanya.

Kamalludin berkata siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image