PETALING JAYA: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) diminta mempergiatkan lagi usaha melatih ahli-ahli koperasi terutama dari sudut pengurusan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan (gambar).

Beliau berkata perkembangan di dalam keupayaan gerakan koperasi menuntut kaedah tadbir urus koperasi yang lebih kompeten dan terancang.

“Saya telah meminta IKMa mengambil satu pendirian bahawa kita kena memberikan satu latihan kepada semua ahli koperasi berjumlah 7.34 juta di seluruh negara yang merangkumi 20 peratus penduduk Malaysia.

“Kita mempunyai anggaran lebih kurang 15,000 koperasi sedia ada di Malaysia. (Justeru) IKMa kena memainkan peranan sangat penting melatih bagaimana untuk berniaga dan menjalankan aktiviti yang mana penting bagi pengurusan koperasi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) MADANI 2024 di sini, hari ini.

Terdahulu di dalam ucapannya Ramanan berkata gerakan koperasi di Malaysia akan menjadi antara agenda keusahawanan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi menangani isu kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

“Keupayaan gerakan koperasi telah meningkat selari dengan pertambahan jumlah dan anggota koperasi yang baharu.

“Penglibatan koperasi dalam menerokai sektor bidang keberhasilan utama amat membanggakan seperti pelancongan, peladangan, kewangan, hartanah, peruncitan dan pemborongan. Namun begitu perkembangan ini memerlukan kaedah tadbir urus koperasi yang lebih kompeten dan terancang,” katanya.

Sehubungan itu, Ramanan berkata KUSKOP akan sentiasa menyokong peranan IKMa demi mencapai jangkaan serta harapan rakyat terhadap agenda pendidikan koperasi.

Bagi menjayakan usaha itu, beliau turut meminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) membantu menyediakan bantuan biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada penuntut-penuntut Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM).

Sementara itu, Ramanan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) mengucapkan tahniah kepada ahli Perlimen Batu P. Prabakaran yang dilantik sebagai pengerusi MITRA yang baru berkuat kuasa semalam.

Beliau berharap Prabakaran dapat meneruskan kesinambungan yang ditinggalkannya selain turut dapat bekerjasama baik dengan Kementerian Perpaduan Negara yang bertanggungjawab mengendalikan MITRA. -Bernama