LABUAN: Pekhidmatan bot penambang Labuan-Menumbok-Labuan akan ditingkatkan menjelang sambutan Aidilfitri, menurut Pengerusi Eksekutif LDA Holdings Sdn Bhd Noor Halim Zaini.

Beliau berkata perkhidmatan bot laju itu akan ditingkatkan kepada 30 perjalanan sehari bermula 19 April ini dan pasukan operasi LDA Holdings bersedia untuk mengendalikan jumlah itu.

“Kami mahu memastikan penumpang dari Labuan dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman masing-masing di tanah besar Sabah.

“Kami akan bekerja sepanjang masa bagi memastikan perkhidmatan bot laju sentiasa tersedia untuk penumpang ke tanah besar mulai hari ini dan seterusnya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata dianggarkan sekurang-kurangnya 6,000 penumpang dari Labuan akan melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan ke tanah besar Sabah-Menumbok dan Sipitang mulai minggu hadapan (18 hingga 22 April 2023).

“Pasukan operasi kami sama ada di kaunter dan pintu keluar utama bersedia untuk mengendalikan aliran keluar penumpang ke tanah besar.

“Kami telah memberi taklimat kepada pengusaha bot untuk bekerjasama bagi memastikan kelancaran operasi menjelang cuti umum Aidilfitri dan cuti sekolah pertengahan penggal yang bermula 19 April ini,” katanya.

Noor Halim berkata pada masa ini terdapat lebih 12 bot penambang yang setiap satunya mempunyai 36 tempat duduk beroperasi bagi laluan Labuan-Menumbok-Labuan. -Bernama