Malaysia peruntuk RM926 juta untuk pengerusi ASEAN 2025, lancar 326 mesyuarat dan hidupkan semula rundingan RCEP serta ATIGA.
KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM926.187 juta untuk mengurus penganjuran Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Perbelanjaan itu melibatkan 326 mesyuarat merentasi tiga tonggak utama kerjasama serantau sepanjang tahun ini.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata akaun perbelanjaan belum ditutup kerana masih terdapat mesyuarat ASEAN yang berlangsung sehingga penghujung tahun.
“Bagi Kementerian Luar Negeri (KLN) sahaja, peruntukan adalah RM560 juta,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai kos penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
KLN mempengerusikan tonggak politik dan keselamatan ASEAN.
Tonggak ekonomi diketuai oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri manakala tonggak sosial budaya dipengerusikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Mohamad berkata kepengerusian Malaysia mencipta sejarah dengan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan ASEAN-GCC-China.
Pencapaian itu belum pernah dilakukan oleh negara pengerusi sebelum ini.
Beliau menegaskan keutamaan Malaysia ialah meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang masih di bawah 25%.
Ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisi.
Di bawah kepengerusian Malaysia, rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang terhenti sejak 2020 berjaya dihidupkan semula.
Rundingan semula Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) turut digerakkan.
Menjawab persoalan pulangan ekonomi, Mohamad menjelaskan sidang ASEAN bukan acara bidaan seperti temasya sukan.
Ia adalah mandat berkala setiap 10 tahun yang memberi manfaat jangka panjang melalui keputusan dasar dan dokumen hasil.
Manfaat juga diperoleh melalui platform seperti ATIGA, Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan RCEP.
Kedudukan strategik Malaysia terus menarik pelaburan teknologi tinggi dan pusat data.
“Tengok sahaja pelaburan yang mencurah… Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sahaja telah menerima RM17 bilion pelaburan sejak ditubuhkan pertengahan tahun ini,” katanya.
Dalam aspek geopolitik, Mohamad berkata kejayaan terbesar Malaysia ialah melaksanakan agenda keterangkuman.
Malaysia menerima Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11 selepas penantian berbelas tahun.
Ini adalah hasil diplomasi konsisten yang dilaksanakan.







