Pegawai kanan JIM mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan RM140,000 untuk melepaskan kemasukan warga asing tanpa prosedur
SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM140,000.
Mastura Aziz, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.
Dia didakwa menerima wang suapan masing-masing RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 daripada seorang lelaki warga asing di empat lokasi berasingan pada Mei 2025.
Wang itu didakwa sebagai upah untuk melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke Malaysia tanpa mengikut prosedur JIM.
Ketika kejadian, tertuduh berkhidmat sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Pejabat Imigresen KLIA Terminal Satu.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Sepang, Pusat Penjaja Kota Warisan Bandar di Bandar Baru Salak Tinggi dan sebuah stesen minyak di Persiaran Warisan Maju.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irna Julieza Maaras menawarkan jaminan RM50,000 dengan syarat tambahan.
Peguam tertuduh Datuk Geethan Ram Vincent memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000.
Hakim Mohd Nasir kemudian menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Tertuduh juga perlu melapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 25 Februari untuk sebutan semula kes.








