MEXICO CITY, 11 Sept (Bernama-dpa) -- Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada pada Rabu berkata tiga orang maut dan sekurang-kurangnya 70 lagi cedera apabila sebuah lori tangki gas petroleum cecair (LPG) meletup di ibu negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lori tangki itu, yang mempunyai kapasiti 49,500 liter, terbalik di bawah jejambat lebuh raya di daerah Iztapalapa sebelum meletup, menurut pihak berkuasa tempatan.
Brugada memuat naik senarai “awal” 70 orang yang sedang menerima rawatan di beberapa buah hospital dengan 19 daripadanya mengalami kecederaan serius.
Menurut laporan rasmi, pemandu lori tangki itu juga cedera parah dan kini dirawat di hospital. Kanak-kanak turut menjadi mangsa, termasuk sekurang-kurangnya seorang bayi.
Brugada memaklumkan sebanyak 18 buah kenderaan rosak dan menyatakan bahawa kenderaan yang meletup itu adalah milik Gas Silza, anak syarikat Tomza Group – konglomerat pengedaran LPG terbesar di Mexico.
Pejabat Peguam Negara telah memulakan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu.
-- BERNAMA-dpa