KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil berkata beliau akan membantu menyelesaikan isu tunggakan penyelenggaraan perumahan Fasa 1F dan 1G di Taman Seri Sentosa antara penduduk dan bahagian pengurusan perumahan itu.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata beliau menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai notis dan panggilan daripada ejen pengurusan lama dan baharu mengenai tunggakan penyelenggaraan bangunan itu.

“Ramai yang tidak berpuas hati dengan mutu perkhidmatan ejen lama itu dan apabila ejen baharu mula bertugas (selepas April 2024), penduduk minta isu tunggakan lama ini diteliti semula.

“Jumaat lalu saya telah berbincang dengan wakil Pesuruhjaya Bangunan Kuala Lumpur, ejen pengurusan dan penduduk. Kami putuskan agar panggilan mengenai tunggakan lama dihentikan buat masa ini untuk diteliti dengan terperinci, tetapi tunggakan baharu perlu dilunaskan.

“Insya-Allah saya dan pejabat akan mengambil beberapa tindakan susulan, untuk membantu kedua-dua pihak penduduk dan juga pengurusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fahmi juga berkata ejen pengurusan perlu meneliti kos bulanan penyelenggaraan itu agar lebih seimbang dengan kemampuan fasa-fasa perumahan.