BENTONG: Karnival Sukan Sejahtera MADANI 2025 anjuran Jabatan Penjara Malaysia berupaya menjadi platform bagi memperkukuh disiplin dan jati diri dalam kalangan penghuni penjara.
Komisioner Jeneral Penjara Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata ini kerana acara tersebut dilihat mampu menyemai semangat perpaduan, pemulihan dan pembangunan insan sejati sehingga mengubah individu ke arah lebih baik.
“Sukan bukan hanya sebuah pertandingan, ia merupakan latihan kendiri untuk mengawal emosi, menerima kekalahan, meraikan kemenangan dan paling penting membina jati diri untuk berdepan cabaran kehidupan.
“Karnival ini bukan hanya pentas menonjolkan bakat sukan tetapi menyokong visi Jabatan Penjara mempertingkatkan kualiti kehidupan penghuninya melalui pendekatan pemulihan berasaskan terapi sukan yang holistik dan progresif,“ katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Karnival Sukan Sejahtera MADANI 2025 di sini hari ini.
Edisi kali ini yang menghimpunkan sebanyak 261 penghuni daripada 26 institusi penjara seluruh negara, diterajui Bahagian Korektif dengan kerjasama Persatuan Kelab Sahabat Penjara Malaysia, mempertandingkan 14 acara sukan seperti futsal, sepak takraw, bola jaring, bina badan, gusti lengan dan permainan tradisional antaranya tarik tali serta congkak.
Abdul Aziz berkata penjara juga kini dilihat bukan lagi tempat menghukum semata-mata tetapi ruang harapan bagi mereka untuk hidup lebih berjaya apabila kembali kepada masyarakat kelak.
“Penjara sudah menjadi platform pemulihan dan pembangunan insan manakala sukan hanya satu daripada pendekatan kita gunakan untuk membawa penghuni keluar daripada kegelapan masa lalu kepada sinar masa depan lebih cerah.
“Di sebalik dinding konkrit dan jeriji besi, ada harapan yang kita semai dan ia bukan sekadar untuk bebas tetapi untuk hidup bermaruah,“ katanya. - Bernama