• 2025-10-17 07:24 PM

PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang menaikkan had umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun bagi membendung gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi menyatakan kerajaan akan meneliti keperluan mewajibkan pendaftaran akaun media sosial menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, MyDigitalID dan pasport.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bersama-sama agensi berkaitan akan menghantar delegasi untuk bertemu dengan pengendali platform media sosial di Singapura pada minggu depan.

Fahmi berkata mekanisme pendaftaran menggunakan dokumen rasmi mungkin sama seperti proses e-KYC yang dilaksanakan dalam aplikasi perbankan dan e-dompet.

Perbincangan juga akan diadakan dengan Bank Negara Malaysia dan beberapa pihak lain berdasarkan pengalaman pelaksanaan sistem e-KYC bagi e-dompet.

Beliau menegaskan kerajaan akan adakan perbincangan dengan pihak platform media sosial selepas mendapat laporan hasil daripada perbincangan di Singapura.

Fahmi berkata MCMC juga diminta meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap mana-mana platform e-dagang yang didapati terus menjual barangan yang tidak dibenarkan.

Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dari semasa ke semasa mengeluarkan arahan bagi menurunkan iklan produk terlarang yang dikesan.

Beliau meminta MCMC meneliti keperluan sekiranya pihak syarikat e-dagang tidak memberikan kerjasama yang baik untuk mengambil tindakan lanjut.

Fahmi berkata demikian selepas ditanya mengenai langkah yang diambil bagi membendung pembelian senjata dalam talian.

Polis mengesahkan senjata tajam yang dirampas daripada suspek kes bunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya dibeli secara dalam talian. – Bernama