PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebas dan melepaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy, daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Keputusan itu dibuat tiga hakim Mahkamah Rayuan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin yang menolak dua notis rayuan dikemukakan pihak pendakwaan.

Perkara itu selepas pihak pendakwaan gagal untuk mengemukakan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan dan mereka juga tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk melanjutkan tarikh memfailkan petisyen rayuan.

Hakim Hadhariah berkata mengikut undang-undang, notis rayuan dianggap telah luput dan menjadi tidak sah apabila petisyen rayuan tidak difailkan mengikut masanya dan tidak terdapat permohonan daripada pendakwaan untuk lanjutan masa.

Beliau berkata mengikut kronologi, tiga prosiding pengurusan kes pada 21, 28 dan 30 Ogos tahun ini telah diadakan dan pada ketiga-tiga pengurusan kes tersebut, pihak pendakwaan telah diarahkan untuk memfailkan petisyen rayuan namun gagal untuk mematuhi arahan tersebut.

Hakim Hadhariah berkata permohonan untuk pelanjutan masa sepatutnya dibuat sebelum tarikh akhir untuk memfailkan petisyen rayuan itu tamat, dan menambah dalam kes ini tarikh akhir ialah pada 6 Julai dan ia telah ditangguhkan selama dua bulan dan pihak pendakwaan juga masih tidak mengemukakan permohonan tersebut.

Pada prosiding hari ini Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memohon untuk mendapatkan tarikh bagi pengurusan kes daripada mahkamah, bagi membolehkan mereka memfailkan permohonan pelanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan.

Apabila Hakim Hadhariah bertanyakan kepada Yusaini Amer mengapa pihak pendakwaan tidak memfailkan petisyen rayuan walaupun telah diingatkan, Yusaini Amer berkata kes itu merupakan kes yang melibatkan kepentingan awam dan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti kesemua dokumen dan bukti.

Beliau berkata keputusan terkini daripada pengurusan Pejabat Peguam Negara ialah untuk meneruskan dengan memfailkan petisyen rayuan dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan berhasrat memfailkan permohonan pelanjutan masa dalam tempoh dua minggu.

Bagaimanapun Peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Arul Kanda dan Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili Najib, membantahnya.

Sivananthan menyatakan bahawa notis rayuan itu perlu ditolak kerana tidak terdapat sebarang rayuan yang sebetulnya dikemukakan kepada mahkamah, dan pihak pendakwaan telah melebihi tempoh masa untuk memfailkan petisyen rayuan.

Muhammad Shafee pula menyatakan bahawa Seksyen 53 (3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan bahawa apabila suatu petisyen itu tidak difailkan dalam temph 10 hari yang ditetapkan, maka rayuan itu dianggap luput dan terbatal.

Beliau berkata Pendaftar Mahkamah Rayuan telah mengingatkan pihak pendakwaan untuk memfailkan petisyen rayuan ketika prosiding pengurusan kes, namun tiada petisyen rayuan telah difaikan. Pihak pendakwaan juga tidak memberikan alasan untuk kelewatan dalam memfailkan petisyen rayuan itu.

Muhammad Shafee berkata tindakan pihak pendakwaan itu menunjukkan ketiadaan niat untuk meneruskan rayuan terhadap pembebasan itu.

Beliau berkata pendakwaan pada ketika itu boleh mengemukakan permohonan untuk mengemukakan semula rayuan.

Pada 3 Mac tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa memanggil mereka untuk membela diri.

Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada 9 Mac tahun ini.

Bagaimanapun pihak pendakwaan telah tidak memfailkan petisyen rayuan mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan dan juga tidak memfailkan apa-apa permohonan untuk lanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan tersebut.

Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

Di luar mahkamah, Arul Kanda berterima kasih kepada mahkamah atas keputusan hari ini yang mematuhi undang-undang.

Beliau berkata baginya kebenaran telah dibuktikan dan sudah tiba masanya untuk beliau dan keluarga meneruskan kehidupan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan firma guaman Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib menyatakan bahawa memandangkan bukti kukuh yang dikemukakan di mahkamah, pertuduhan tidak sepatutnya difailkan terhadap anak guamnya.

Menurut kenyataan itu, pilihan pihak pendakwaan untuk mengelak daripada meneruskan rayuan itu mengukuhkan ketidakbersalahan yang tidak dapat disangkalkan terhadap kedua-dua Najib dan Arul Kanda.- Bernama

Clickable Image
Clickable Image