• 2025-08-18 02:12 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan kelewatan beberapa projek termasuk Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah berpunca daripada amalan ‘kawtim’ atau pemberian kontrak atas dasar politik.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dakwaan itu hanyalah persepsi dan tuduhan semata-mata.

Beliau mengakui pernah menegur kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan jalan sedia ada semasa kerja pembinaan.

“Jika kontraktor tidak menyelenggara dengan baik maka Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah boleh melantik kontraktor lain untuk menyelenggara jalan itu dan kos penyelenggaraan dipotong daripada kos yang telah dianugerahkan kepada kontraktor berkaitan,” katanya.

Ahmad menjelaskan setakat ini pihaknya belum mengambil tindakan tersebut tetapi sedang memantau rapi dan memberikan amaran supaya jalan diselenggara dengan baik.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang mempersoalkan keabsahan dakwaan wujudnya amalan kawtim sehingga menyebabkan projek terbengkalai.

Menjawab soalan asal Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) mengenai status terkini LPB di Sipitang, Ahmad berkata setakat 31 Julai lalu, kemajuan fizikal Pakej 1 dan Pakej 2 mengalami kelewatan.

“Kemajuan fizikal Pakej 1 mencapai 84.22% berbanding jadual asal 87.43%, iaitu lewat sebanyak 3.21%, manakala Pakej 2 pula pada tahap 58.14% berbanding sasaran 60.89%, dengan kelewatan 2.75%,” katanya.

Faktor utama kelewatan termasuk cuaca tidak menentu, musim hujan berpanjangan, isu pengambilan balik tanah, dan kekurangan tenaga kerja.

KKR mensasarkan Fasa 1A dan 1B projek itu dapat disiapkan masing-masing menjelang suku pertama 2027 dan Oktober 2028. – Bernama