• 2025-07-21 08:48 PM

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM4.6 juta dalam operasi bersepadu Op Taring yang dijalankan dari 14 hingga 19 Julai lepas. Operasi itu dilaksanakan di beberapa lokasi termasuk Miri, Serian, Sibu, Tebedu, Bau, dan Lundu.

Komander Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata, dalam satu serbuan di Miri, pasukan PGA merampas 42,615.99 kilogram produk makanan sejuk beku dan sebuah peti sejuk kontena bernilai RM1.91 juta. “Seorang lelaki berusia 28 tahun turut ditahan dalam operasi itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Di Serian, dua lelaki ditahan bersama 201,920 batang rokok, 6,019.2 liter minuman keras, dan sebuah lori bernilai RM766,806.40. Sementara di Sibu, polis merampas 316,920 batang rokok dan sebuah kereta Toyota Innova bernilai RM739,424.

“Di Tebedu, kami menemui 295,600 batang rokok bernilai RM510,200 yang dipercayai cuba diseludup melalui laluan tidak diwartakan,“ tambah Che Ghazali.

Operasi turut membongkar penyeludupan beras di Bau dengan rampasan 6,250 kilogram beras tanpa permit bernilai RM232,500. Di Lundu, dua lelaki ditahan bersama 350 kotak makanan sejuk beku bernilai RM187,200 dan RM186,200.

“Dalam operasi terakhir di Serian pada 14 Julai, dua lelaki ditahan bersama 2,800 batang rokok tidak bercukai bernilai RM134,760,“ jelasnya. - Bernama