• 2025-07-25 08:24 PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Kesihatan (KKM) mempermudah proses birokrasi bagi mempercepat pengisian 4,352 perjawatan di fasiliti kesihatan, termasuk lantikan doktor kontrak, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata isu perjawatan itu dibangkitkan Anwar dalam Mesyuarat Kabinet hari ini. “Perdana Menteri meminta supaya proses birokrasi yang dilihat mungkin menyebabkan kelewatan ini dipercepat, memandangkan pada asalnya KKM menjangkakan kebanyakan atau kesemua jawatan tersebut hanya akan dapat diisi menjelang November,“ katanya.

Beliau menambah, Anwar berpandangan tempoh tersebut terlalu lewat, justeru proses pengisian jawatan perlu dipercepat. Fahmi berkata pengisian perjawatan itu penting kerana terdapat keperluan mendesak untuk mengisi lebih 4,000 kekosongan di sektor kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula telah memberikan komitmen bahawa proses pengisian jawatan akan diringkaskan tanpa menjejaskan prosedur sedia ada. “Proses ini akan disegerakan,“ jelas Fahmi dalam Sidang Media Mingguan di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, Anwar dalam Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia menyatakan kerajaan akan menyegerakan pengisian 4,352 jawatan di fasiliti kesihatan, termasuk lantikan doktor kontrak tahun ini. Langkah ini diambil bagi memenuhi keperluan mendesak dalam sektor penjagaan kesihatan negara. - Bernama