PASIR MAS: Setiap kali musim tengkujuh, menjelma bak cendawan selepas hujan gerai-gerai menjual ikan sungai atau turut dikenali sebagai ikan darat di sepanjang Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, di sini.
Peniaga Mohamad Naim Sulaiman, 32, berkata sambutan terhadap ikan darat itu amat memberangsangkan kerana ia sukar didapati di luar musim tengkujuh.
Beliau berkata setiap hari dia bersama dua rakannya, Hakimi Ab Rahman, 41, dan AziI Zaid, 28, tidak menang tangan melayani permintaan tinggi daripada pelanggan yang datang silih berganti.
“Saya mula berniaga sejak tiga hari lepas dengan mendapatkan pelbagai jenis ikan daripada penduduk sekitar Pasir Mas secara pukal yang ditangkap menggunakan kaedah candik (pukat besar di pembentung), bubu dan temila,“ katanya kepada pemberita di Kampung Gaung, di sini hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati pelbagai jenis ikan dijual termasuklah puyu, sepat, baung, patin dan lampam.
“Setiap hari saya mampu menjual melebihi 100 kilogram ikan. Paling popular adalah ikan baung yang dijual antara RM35 hingga RM40 sekilogram,” katanya yang turut menyediakan perkhidmatan menyiang ikan sekiranya diminta oleh pelanggan.
Jelasnya ikan yang dijual terutama ikan baung kebanyakannya masih segar dan ada yang masih hidup.
Sementara itu, pelanggan Noorhayati Abdul Hamid, 35, berkata kedatangan musim tengkujuh sentiasa dinantikan kerana berpeluang mendapatkan ikan darat dengan mudah.
Dia berkata harga ikan yang dijual di sepanjang jalan di sini amat berpatutan seperti ikan lampam berharga RM20 sekilogram.
“Kebanyakan ikan di sini masih segar kerana baru ditangkap malah ada yang masih hidup. Sekiranya digoreng ataupun dimasak asam pedas sudah pasti enak rasanya.
“Sejak beberapa hari lepas saya memang datang membeli ikan di sini kerana boleh memilih pelbagai spesies ikan yang sukar diperolehi sebelum ini,” katanya. -Bernama