KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Berhad menerusi kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Sahabat Jariah Malaysia menganjurkan Program Sunathon Tahunan, dengan menawarkan perkhidmatan berkhatan percuma kepada 20 kanak-kanak dari Kampung Orang Asli Hulu Tamu di Batang Kali pada Sabtu lepas.
KPJ Healthcare dalam kenyataan hari ini memaklumkan program tahunan bertujuan mempromosikan kesedaran kesihatan kepada komuniti terutama golongan B40 selain menyepadukan objektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat itu, sehingga kini telah memanfaatkan lebih 3,000 kanak-kanak dan keluarga.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan dalam kenyataan sama berkata pihaknya melihat akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti sebagai hak asasi manusia, tanpa mengira latar belakang mahupun keadaan.
“Inisiatif kami lebih sekadar menyediakan prosedur perubatan semata-mata. Kami ingin membina kepercayaan, memupuk pemahaman budaya dan memperkasakan komuniti untuk membuat pilihan termaklum tentang kesihatan mereka.
“Kami percaya bahawa dengan bekerjasama bersama pemimpin tempatan dan profesional penjagaan kesihatan, kami boleh menyampaikan perubahan bermakna dalam kehidupan kanak-kanak ini serta keluarga mereka,” katanya.
Menurut kenyataan itu, sejak ditubuhkan pada 1981, KPJ Healthcare telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk forum pendidikan, pemeriksaan kesihatan percuma, pengagihan makanan untuk keluarga asnaf dan perkhidmatan zakat bergerak melalui cabang amalnya, Klinik Waqaf An-Nur (KWAN).
Melalui rangkaian hospital dan klinik KWAN, KPJ Healthcare menjadi pemangkin dalam penyediaan penjagaan kesihatan berkualiti mudah diakses, secara langsung menyumbang terhadap kesihatan dan kemajuan masyarakat.
“Hal ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), khususnya mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan yang baik (Matlamat 3), mengurangkan ketaksamaan (Matlamat 10) dan memupuk perkongsian untuk matlamat (Matlamat 17).
“Usaha ini juga telah diiktiraf dengan penganugerahan ‘Company of the Year (Healthcare) - Anugerah Juara Kelestarian Penjagaan Kesihatan’ pada Anugerah Kelestarian & CSR Malaysia 2023,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, rangkaian KWAN di seluruh negara meliputi 11 klinik statik, 10 klinik bergerak dan sembilan pusat dialisis, yang memberi penumpuan kepada sokongan kesihatan kepada golongan miskin dan kurang mendapat perkhidmatan dalam komuniti bandar. -Bernama