KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,000 kuota pemberian kaedah kontraseptif secara percuma untuk wanita daripada golongan B40 dan berisiko tinggi yang layak dalam usaha menggalakkan amalan perancangan keluarga di Malaysia.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim (gambar) berkata ini adalah sebahagian daripada kempen Bulan Perancang Keluarga 2023 LPPKN dengan menawarkan pelbagai kaedah kontraseptif seperti pil, kondom, kaedah jangka panjang termasuk alat dalam rahim dan implan.
“Menerusi kempen ini, kita menawarkan alat kontraseptif bermula 4 hingga 29 Sept ini di kesemua 49 Klinik Nur Sejahtera LPPKN seluruh negara....(wanita yang mahu mendapatkan perkhidmatan ini) boleh datang ke klinik ini untuk konsultasi mengenai kaedah kontraseptif yang bersesuaian,“ katanya pada sidang media selepas Forum Advokasi Perancang Keluarga sempena Hari Kontraseptif Sedunia 2023 di sini hari ini.
Beliau berkata kempen itu juga mendapat sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan, Rise Against Hunger, yang membiayai pemasangan kontraseptif jangka panjang seperti alat dalam rahim dan implan kepada 30 orang wanita yang berisiko tinggi dalam kalangan B40.
Kempen Bulan Perancang Keluarga 2023 LPPKN dengan tema ‘Pilih Dengan Yakin’ bertujuan memupuk agenda pembentukan keluarga yang lebih berkualiti merangkumi kesihatan fizikal, mental dan kesediaan wanita untuk hamil secara selamat, memelihara kesihatan anak selain memastikan kesejahteraan keluarga.
Rohani berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 (KPKM-5) pada 2014 mendapati satu daripada lima wanita berkahwin tidak menggunakan sebarang kaedah perancang keluarga sedangkan mereka tidak merancang untuk hamil, iaitu pada kadar 19.6 peratus dan merupakan kadar peratusan tertinggi di Asia.
“Kajian sama juga mendapati 89.3 peratus wanita dalam lingkungan umur reproduktif telah memilih untuk membuat keputusan sendiri bagi penggunaan kontraseptif. Ini menunjukkan wanita Malaysia boleh dan berupaya membuat keputusan yang terbaik untuk menjaga kesihatan reproduktif mereka sendiri,“ katanya.
Sementara itu, Rohani berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk menambah peruntukan mengurus bagi agensi yang berperanan dalam pembangunan penduduk dan keluarga itu agar pelaksanaan perkhidmatan dan program di bawah agensi tersebut dapat diperluaskan.
“Kadang kala (pelaksanaan) kami terhad dalam bandar-bandar utama sahaja disebabkan (peruntukan) terhad tetapi (golongan) sebenar yang banyak memerlukan perkhidmatan kita berada di kawasan pedalaman.
“... sebagai contoh, pemeriksaan kanser serviks kalau kita dapat pergi lagi jauh kita dapat membantu dan memeriksa lebih ramai lagi wanita seterusnya mencegah penyakit tersebut,“ katanya.
Terdahulu, LPPKN menganjurkan Forum Advokasi Perancang Keluarga yang menampilkan Pakar Perunding Perubatan Feto-Maternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam Prof Dr Jamiyah Hassan, penceramah keibubapaan yang juga pengasas Ceelik Family Centre Enterprise Dr Noor Atiyah Azmi dan Pengarah Urusan Bayer Co. (Malaysia) Sdn Bhd Leong Sook Fun.
Forum itu antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat serta pemegang taruh terhadap isu-isu berkaitan perancang keluarga ke arah kesejahteraan wanita dan keluarga di samping menyampaikan fakta sebenar dan mengelakkan pemahaman salah terhadap amalan perancangan keluarga. -Bernama