JKM Johor memastikan bekalan bencana di depoh mencukupi sepanjang Monsun Timur Laut, sambil mengalu-alukan penglibatan NGO dalam program bantuan di rumah.
BATU PAHAT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor akan memastikan barangan keperluan bencana di depoh utama Muar dan mini depoh di semua daerah sentiasa mencukupi sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Pengarah JKM Johor Ahmad Hashim Selamat berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca serta berhubung dengan JKM pusat, NADMA dan MetMalaysia bagi memastikan bantuan kepada mangsa banjir disalurkan tanpa kelewatan.
“Pada kali ini, Mersing menjadi daerah pertama dilanda banjir tidak seperti kebiasaan apabila Segamat, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat yang terjejas awal,” katanya.
Ahmad Hashim berkata JKM Johor juga bersiap sedia menghadapi banjir luar jangka dengan menggunakan bekalan dari mini depoh daerah lain sekiranya berlaku kecemasan.
Beliau mengalu-alukan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di kediaman mereka melalui program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR).
“Untuk rekod hingga Dis 2025, statistik petugas KBDR di Johor sebanyak 136 orang, manakala klien kita (warga emas dan OKU) yang memerlukan bantuan sebanyak 544 orang,” katanya.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan jumlah itu akan bertambah pada tahun hadapan.
Untuk urusan penjagaan warga emas di Johor pula beliau berkata pihaknya turut berterima kasih kepada NGO yang telah menguruskan 22 rumah sejahtera.








