Kementerian Sumber Asli jelaskan dakwaan media beri 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan adalah tidak tepat
PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menjelaskan bahawa laporan media mendakwa Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan adalah tidak tepat.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata penyelesaian isu persempadanan darat antara Malaysia dan Indonesia dibuat tanpa berlandaskan prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.
Katanya rundingan berkaitan penandaan dan pengukuran di kawasan Isu Sempadan Tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni antara kedua-dua negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan perjanjian sempadan sedia ada.
Beliau berkata pemuktamadan pengukuran sempadan darat itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) Malaysia-Indonesia pada 18 Feb 2025 selepas melalui lebih 45 tahun proses rundingan teknikal yang komprehensif dan telus.
“Hasrat Malaysia dan Indonesia untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) telah dipersetujui semasa lawatan negara mantan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023, yang turut melibatkan penglibatan aktif wakil kerajaan Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Arthur berkata pengukuran saintifik telah dilaksanakan berdasarkan perjanjian terdahulu bagi memastikan jajaran sempadan yang jelas, melibatkan kepakaran Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta agensi keselamatan.
Beliau berkata setiap inci pelarasan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa iaitu Konvensyen Sempadan 1891, Perjanjian Sempadan 1915 serta Konvensyen Sempadan 1928 selain koordinat geospatial yang tepat, bukan atas dasar konsesi politik.
“Penetapan sempadan yang muktamad akan memperkukuhkan kedudukan perundangan negara di peringkat antarabangsa serta menutup ruang untuk sebarang tuntutan wilayah yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Arthur berkata keputusan pemuktamadan sempadan itu dilihat sebagai langkah strategik Malaysia dalam memastikan kedaulatan negara diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa, sekali gus meletakkan kepentingan jangka panjang melebihi daripada mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai asas undang-undang.
Selain itu, beliau berkata kedua-dua negara terus mengambil pendekatan diplomasi melalui rundingan berterusan bagi menyelesaikan sebarang isu dan pertikaian di kawasan OBP, berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan, sekali gus memastikan keharmonian serta mengelakkan sebarang konflik di lapangan.
Baru-baru ini, media melaporkan tiga desa di Nunukan, Kalimantan Utara didakwa kini beralih ke Malaysia, namun pertikaian sempadan di kawasan Pulau Sebatik masih belum diselesaikan, sementara Indonesia dilaporkan memperoleh tambahan kawasan seluas 5,207 hektar dari Malaysia.








