Polis Seremban terima laporan dakwaan penganiayaan kanak-kanak lelaki 3 tahun di sebuah taska, siasatan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001
SEREMBAN: Polis menerima laporan semalam berhubung dakwaan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di sebuah taska di Seremban 2 Heights.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata laporan diterima daripada ibu mangsa pada jam 11.31 malam.
Ibu mangsa berusia lingkungan 30-an itu membuat laporan selepas menerima maklumat serta gambar melalui media sosial yang menunjukkan kesan kemerahan di pipi kiri anaknya.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Jun tahun lepas ketika mangsa berada di taska berkenaan.
Polis telah mengambil keterangan empat saksi yang merupakan pengasuh dan pengurus taska tersebut.
Siasatan sedang diteruskan bagi mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat mengikut undang-undang.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Azahar menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian itu sehingga boleh mengganggu siasatan.
Perkongsian seorang wanita tentang kejadian yang menimpa anak lelakinya itu telah tular dalam media sosial sebelum ini.








