KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Karim Khan.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata pada pertemuan itu beliau dimaklumkan mengenai peranan ICC serta perkembangan isu antarabangsa terutama di Palestin dan Myanmar.

Perdana Menteri berkata beliau menekankan bahawa Malaysia menuntut akauntabiliti atas segala jenayah kejam rejim Zionis Israel termasuk penganiayaan terhadap rakyat Palestin khususnya kanak-kanak.

“Malah saya juga menggesa pihak ICC untuk mempercepatkan tindakan demi menegakkan keadilan bagi rakyat Palestin,“ katanya.

Mengenai isu di Myanmar, Anwar mengulangi kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan negara ASEAN dalam mencari jalan penyelesaian.