KUALA LUMPUR: Bahagian pasaran sektor sarung tangan getah Malaysia di pasaran Amerika Syarikat (AS) dijangka meningkat kepada 55 peratus meskipun berdepan kenaikan tarif sebanyak 10 peratus serta tarif timbal balas yang dikenakan oleh negara itu ke atas Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pengeluar sarung tangan getah daripada negara pesaing seperti China dikenakan tarif yang lebih tinggi sekali gus memberi kelebihan kepada Malaysia untuk mengembangkan eksport sarung tangan getah ke AS.

“Bagi eksport sarung tangan getah pula, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk memperluas pasaran sarung tangan getah di AS. Kita mempunyai kira-kira 47 peratus daripada bahagian pasaran di pasaran sarung tangan getah AS.

“Ini dijangkakan boleh meningkat sehingga 55 peratus berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh industri kepada kita,” katanya pada sesi taklimat Kad Laporan Prestasi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) suku pertama 2025 di sini hari ini.

Laporan berkenaan menunjukkan saiz pasaran sarung tangan getah AS menjelang 2030 diunjurkan berjumlah US$4.17 bilion, dengan potensi bahagian pasaran sehingga 55 peratus.

Produk getah adalah antara lima produk teratas yang dieksport Malaysia ke AS berjumlah RM7.41 bilion (3.7 peratus).