• 2025-06-28 10:08 PM

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan sebanyak 226 operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sepanjang tahun lepas, melibatkan 1,348 mangsa di seluruh negara.

Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata daripada jumlah itu, 1,259 mangsa berjaya diselamatkan, 64 dilaporkan meninggal dunia, manakala 25 lagi diklasifikasikan sebagai hilang.

Beliau berkata statistik tersebut membuktikan kecekapan dan kesiapsiagaan aset Maritim Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab operasi kecemasan maritim.

“Hari Kesedaran dan Keselamatan Maritim yang disambut setiap tahun ini juga menjadi platform mendidik komuniti maritim termasuk nelayan, pelancong dan pengusaha laut mengenai langkah keselamatan ketika berada di laut,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Kesedaran dan Keselamatan Maritim 2025 di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan di sini hari ini.

Beliau memaklumkan, di Kelantan hanya satu kes lemas direkodkan tahun lepas melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang lemas ketika bermain di pantai.

Erwan Shah turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia memastikan sekurang-kurangnya sebuah aset berada dalam keadaan siap siaga di setiap negeri dan zon maritim untuk digerakkan segera apabila menerima laporan kecemasan.

“Tahun ini, Maritim Malaysia memperhebat kempen kesedaran keselamatan di laut melalui ceramah kepada komuniti, kempen media sosial, edaran risalah, sesi dialog, pameran keselamatan serta wawancara di media elektronik.

“Usaha ini penting bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan memperkukuh hubungan antara agensi penguat kuasa dengan masyarakat pesisir,” katanya.