SEREMBAN: Majlis Perundingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri Sembilan merupakan medium terbaik bagi meningkatkan jumlah tenaga mahir serta menyokong pembangunan ekonomi jangka masa panjang negeri ini.

Exco Kanan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata majlis rundingan tersebut juga akan memberi tumpuan kepada intervensi quick-wins bagi mempercepatkan penempatan pekerjaan agar isu kekurangan pekerja di industri dapat dikurangkan.

“Strategi penyediaan bakat dan tenaga kerja pembangunan perindustrian baharu adalah tumpuan ketika ini. Kedudukan negeri ini di selatan Lembah Klang adalah strategik kerana menerima limpahan daripada kepesatan pembangunan Lembah Klang,” katanya ketika membaca teks ucapan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada program Peluncuran Majlis Perundingan TVET negeri di sini hari ini.

Beliau berkata selain menampung desakan pembangunan ke arah selatan yang didorong oleh permintaan pasaran terutama sektor pembuatan, pembentukan majlis rundingan itu amat bertepatan dengan agenda pembangunan negeri iaitu Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).

Justeru, katanya fasa pertama MVV 2.0 menumpukan kepada pembangunan taman industri di Parcel A, Nilai dengan kerja tanah dan infrastruktur asas sedang giat dijalankan dan pembangunan Bandar Hamilton yang diaktifkan pada 2021 dijangka siap dibangunkan pada 2027.

“MVV 2.0 Industrial Park di Parcel B, Labu berhampiran Techpark @ Enstek juga dalam peringkat pertimbangan kelulusan kebenaran merancang. Susulan kejayaan XME Business Park di Nilai Impian, pihak pemaju akan meluaskan kawasan perindustrian dengan pembangunan XME 2, 3 dan 4,” katanya.

Jalaluddin berkata kerajaan negeri juga giat mempromosi Persijilan Kemahiran Malaysia bagi program Peningkatan Kemahiran dan Pemahiran Semula Pekerja Mahir dan Separa Mahir.

Menurutnya program Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) turut menyasarkan seramai 400 perantis pada tahun depan bagi melahirkan pekerja mahir dan separa mahir industri di negeri ini, seperti dalam sektor kereta elektrik (EV), komposit aeroangkasa dan pertanian.

Majlis rundingan itu terdiri daripada Majlis Perundingan TVET Negeri dan Jawatankuasa Eksekutif MP-TVET termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Selain itu, ia turut disertai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta penyedia latihan dan pemain industri.–Bernama