KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dakwaan berkaitan empat anggotanya tidak mengikut standard prosedur operasi (SOP) semasa melakukan serbuan di sebuah kediaman di Damansara dalam Op Tapis pada Oktober tahun lepas, selain dikatakan turut melakukan pemerasan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar dalam kenyataan hari ini berkata siasatan dilakukan susulan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik menerusi Facebook oleh pemilik akaun itu.
“Polis mengesahkan serbuan berkenaan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 10 Okt lepas semasa menjalankan Ops Tapis di kawasan Damansara.
“Kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat dakwaan yang ditularkan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang salah laku dalam kejadian ini,“ katanya dalam kenyataan.
Semalam, tular menerusi media sosial rakaman memaparkan beberapa anggota polis berpakaian preman menyerbu sebuah kediaman selain bertindak memecahkan CCTV setelah menyedari perbuatan itu dirakam dan didakwa turut melakukan pemerasan.